Tuesday, 19 February 2013

Hishammuddin digesa selesai segera isu keselamatan rakyat Sabah: Kit Siang



KUALA LUMPUR, 18 FEB: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Sabah perlu bersidang dalam satu sidang tergempar sekirannya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein tidak mampu memelihara kedaulatan Sabah dan Malaysia serta hak dan keselamatan rakyat Sabah

Katanya, Malaysiakini telah memetik laporanPhilippine Daily Inquirer, semalam bahawa meskipun penguasa Malaysia mengisytiharkan berakhirnya rundingan dengan lebih daripada 100 rakyat Filipina bersenjata yang mendarat di Sabah awal minggu ini dan mereka akan dihantar pulang, ketua kumpulan itu bertegas mereka tidak akan berganjak.

Menurutnya, Jamalul Kiram III, yang mendakwa sebagai waris kepada Kesultanan Sulu yang sudah tidak wujud lagi, memberitahu Philippine Daily Inquirer bahawa dia membenarkan ‘serangan’ itu dan orangnya akan kekal di Lahad Datu selagi mana perlu.

Mengikut lapoiran itu, Jamalul berkata kumpulan itu, yang diketuai adiknya Tengku Mahkota Agbimuddin Kiram, akan kekal di Sabah “selagi mana perlu” dalam tuntutan mereka untuk mendapatkan semula negeri itu, yang dahulunya kawasan jajahan Kesultanan Sulu.

“Saya menghantar adik saya ke Sabah atas nama keamanan dan melaksanakan hak sejarah, nenek moyang dan kedaulatan terhadap Sabah,” Jamalul, yang berada di Manila, dipetik berkata seperti mana yang dilaporkan akhbar Filipina.

“Adalah hak kami, pemimpin Sulu, untuk menuntut semula apa yang merupakan milik kami,” tambah laporan itu.

Philippine Daily Inquirer turut dipetik menurut Agbimuddin bahawa kumpulannya, yang berada di dalam sebuah kampung di Lahad Datu, lengkap bersenjata, termasuk M-14, M-16, M203, Baby Armalite dan tiada siapa dapat membuatkan mereka berganjak melainkan abangnya Jamalul mengarahkan mereka melakukan sedemikian.

Agbimuddin menambah bahawa lebih ramai lagi, penyokong Kesultanan Sulu, dijangka menyertai mereka di Sabah tidak lama lagi.

Ini dilaporkan Philippine Daily Inquirer telah menjadikan kenyataan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid dan Ketua Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib bahawa rundingan telah tamat dengan 100 rakyat Filipina bersenjata berada di perkampungan tepi laut Tanduo di Lahad Datu dan penguasa Malaysia bersedia menghantar pulang kumpulan bersenjata itu kembali ke selatan Filipina tidak masuk akal.

Ia juga memburukkan nama Kementerian Dalam Negeri memandangkan kesabaran dan keyakinan rakyat Sabah dan Malaysia terhadap kemampuan Hishammuddin untuk menyelesaikan kebuntuan di Lahad Datu dengan segera dan aman semakin tipis, terutamanya Menteri Dalam Negeri lebih berminat dan sibuk bermain politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 berbanding fokus terhadap isu keselamatan membabitkan rakyat dan negara, seperti cuba mengiyakan “kisah yang sukar dipercayai” bahawa nyawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bintang K-Pop Korea Psy diancam ketika pesta Tahun Baru Cina BN di Pulau Pinang Isnin lalu, sedangkan tiada bukti atau sekelumit kebenaran pun;

Katanya, Hishammuddin juga mempertahankan penahanan dan pengusiran Senator Australia Nick Xenophon kerana memperjuangkan pilihan raya bersih dan adil di Malaysia dan mengundang kutukan seluruh dunia; dan menyebarkan penipuan bahawa DAP tidak menghantar keputusan pemilihan parti kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan walhal ia sudah diserahkan sebelum Tahun Baru Cina dan ini menimbulkan persoalan sama ada dia sedang mempersiapkan alasan untuk kerajaan UMNO/BN mengisytiharkan DAP sebagai parti politik haram dan tidak sah.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur itu berkata, sekiranya Hishammuddin tidak mampu memberi tumpuan menyelesaikan kebuntuan dengan pasukan bersenjata Filipina di Lahad Datu dengan segera dan aman, beliau sepatutnya biar orang lain yang lebih mampu memberi keutamaan sewajarnya kepada isu keselamatan negara bukannya mencipta kontroversi politik untuk melakukan tugas itu.

Katanya, adalah amat malang jika Hishammuddin di dalam fikiran rakyat Malaysia, terutamanya rakyat Sabah dikaitkan dengan ungkapan: “Nero sedang main-main sementara Rome terbakar”. – Roketkini.com